Alhamdulillah, masih diberi ruang dan waktu untuk berkongsi serba sedikit ilmu di dada laman maya ini. Baru sahaja usai dari menghantar sepasang mempelai untuk menunaikan haji. Insya-Allah, moga dikurniakan haji yang mabrur, kerana hadis Nabi s.a.w. ada menyebut ; “ Haji yang mabrur tiada lain ganjaran baginya melainkan syurga”.
Seketika dalam perjalanan pulang, terdetik di hati keinginan untuk meluahkan rasa yang sudah lama di pendam. Perjalanan hidup yang bersimpang siur sebagai seorang hamba kepada-Nya, sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapa, seorang adik kepada 2 orang kakak dan seorang abang, seorang abang kepada 6 orang adik perempuan dan 5 orang lelaki, dan insya-Allah sebagai seorang ‘zauj’ kepada bakal mempelai.
Artikel ini merupakan imbauan memori kisah hidup jua sedikit rentetan perjalanan ‘tarbiyah nafs’ selama berkelana di bumi Tuhan ini. Biarlah madah memori berduka ini dirungkai selama hidup masih menjadi teman, sebelum ajal menjelang tiba. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, Alhamdulillah, sudah memadai bagi diri saya ini. Syukur kerna diri dilatih agar ‘qana’ah’ dengan segala nikmat yang diberi. Pernah jua terdetik di hati agar hidup dihiasi dengan kemewahan, namun segera dilatih lisan ini agar melafazkan ‘istighfar’ mohon dijauhkan dari tipu daya dunia penuh prasangka.
Masih teringat, sepasang mempelai membesarkan diriku penuh dengan kasih sayang. Memulakan kehidupan rumah tangga penuh dengan duri dan onak dugaan. Hingga, bila dikenangkan kembali pasti berjejeran air mata mengalir membasahi pipi. Ayah, membanting jiwa mengubati keluh kesah masyarakat yang kian alpa pada Pencipta. Syukur dirimu dikurniakan jiwa yang kental, namun anakmu ini mengerti betapa peritnya jalan yang kau tempuhi. Engkau dibesarkan dalam kesempitan fana’ dunia, melangkah ke menara ilmu di dada
Namun, bagaimanakah aku sebagai anakmu? Diberi kurnia untuk mengerti emosi jiwa dan luahan rasa hati kalian, membuatkan dada sesak dihimpit hiba. Masih teringat, ancaman manusia tanpa agama di jiwa kepadamu wahai Ayah. Ketika aku berusia masih senja. Aku yang masih senja menangis hiba dalam pelukan resah Bonda yang tercinta. Ayahanda, mana mungkin hati ini mampu bertahan melihat dirimu diperlaku sebegitu rupa. Dipukul manusia tanpa jiwa insan seusai sahaja keluar dari kereta pabila pulangnya dirimu dari ceramah, Engkau tabah . Hatimu tidak goyah dengan ranjau dakwah. Aku melihat dari jendela engkau diperlaku sebegitu rupa, ditemani esak tangis Bonda yang kian berduka. Aku berduka. Deria sebagai seorang anak menghalusi jiwa.
Bonda. Seketika, tika melihat wajahmu yang bersih ceria membuatku tersenyum gembira. Namun aku mengerti, tafsiran mimpi adalah fantasi bukanlah realiti. Tabahnya hatimu membesarkan anak-anak tanpa pernah mengeluh, apatah lagi berpaling muka dari tugas yang mulia ini. Kesibukanmu sebagai seorang guru jua ibu membuatkan ku cemburu dengan ketabahanmu. Pulang dari tugasanmu sebagai seorang guru, bertukar dimensimu sebagai seorang ibu pula. Terkadang malammu diulit bebanan tugasmu dalam masyarakat sebagai naqibah kepada mad’u. Seringkala terasa jemu melihat keletihanmu duhai ibu.
Ayahanda, bonda. Baru sedikit pengorbanan yang ku putarkan masa, namun sudah berdarah jiwa menahan derita sengasara. Diriku terdidik dengan sirah hidup kalian. Masa kecilku diisi dengan sedikit kenakalan. Maafkan aku kerna masih kurang mengerti. Bila usia meningkat dewasa, ku dipisahkan sementara menetap berkelana. Tika usia mencapai belasan tahun, ku dibiarkan bersama Al-Quran. Namun hanya dua tahun sahaja aku bertahan. Al-Quran baru sahaja separuh yang dihafal. Namun aku meminta keputusan yang akhirnya membuatkan ku sesal. Berpindah daerah jiwa, menetap hampir dengan kalian. Membuatkan hatiku damai. Tinggal bersama ahli keluarga yang ramai. Namun bukan itu yang aku mamai, tapi sebenarnya didikan dakwahmu yang ingin ku gapai.
Hidupku diatur dengan jadual waktu tugasan dakwahmu. Membuatkan aku terdidik sedikit demi sedikit walaupun dihambat waktu. Gelanggang dakwah ku redah, namun segalanya penuh parah. Hambatan waktu membuatkan aku lebih mengenali arena da’wah ini. Pelbagai imbauan kembali berputar bila aku melalui jalan hidupku sendiri. Membuatkan aku matang dengan masalah yang datang tanpa diundang. Tersenyum namun berduka.
Ketika di peringkat menengah, aku ditentang kerana wasilah yang kurang disenangi. Pahitnya masih terasa hingga kini. Namun tidak mengapa. Ku harapkan segalanya akan terbukti jua. Begitu jua pabila diriku menjejakkan diri di kampus, pelbagai karenah datang menghiba. Namun aku pasti. Untaian mutiara pasti akan kabur akhirnya. Ditohmah ibarat pendusta yang tidak akan diampunkan dosa. Terkadang membuatkanku terdampar sepi mengharapkan Ilahi.
Terkadang, manusia ingin kita mengikut jadual waktu hidupnya tanpa penuh prasangka. Mana mungkin akan terlaksana sekiranya ada kelompongan pada aturannya. Mana mungkin akan terlaksana jika tersalah neraca timbangannya. Ingin diikuti ibarat kerbau yang dicucukkan hidungnya, kemana dibawa pasti dituruti tanpa prasangka. Ingin dilapahkan dagingnya, sanggup dibiarkan kerana taat yang membabi buta. Nauzubillah. Moga untaian kiasan ini diambil iktibar. Tidak salah untuk diteguhkan pengajaran menggunakan wasilah amaran.
Sebaik-baik perkara ialah menyampaikan yang benar walau menderita terseksa. Kerana madunya bukan di dunia, tapi di akhirat
Tersentak dari lamunan sementara. Namun aku pasti, segalanya realiti bukan fantasi.
Hari cuti masih berbaki. Alhamdulillah, beberapa buah masjid sudah diziarahi untuk dikongsi serba sedikit ilmu yang terisi dengan disampaikan kuliah. Walaupun dianggap kurang berjasa di kampus, tidak mengapalah. Biarlah serius di lapangan masyarakat realiti, bukannya terus bermimpi di alam fantasi rekaan sendiri.
Inilah realiti. Bukan sahaja di tempat saya belajar, namun wabak ini kian membarah juga di Ipt-Ipt lain. Amat mendukacitakan. Begitu juga dengan prasarana-prasarana marhalah da’wah yang kian merudum. Pelbagai krisis yang timbul di dalam mana-mana pertubuhan. Namun sebagai insan yang amat dituntut untuk berlaku adil. Pukulan yang sama rata amatlah perlu dielak. Kemungkinan krisis ini disebabkan individu atau kelompok itu sendiri. Tuntasnya, bagi saya ini berlaku kerana hilangnya neraca pertimbangan yang sebenar begitu juga ditambah dengan krisis kurangnya kefahaman Islam yang Syumul dan murunah.
Mungkin untaian kata-kata saya begitu menusuk tajam di dalam sanubari individu tertentu. Namun sedarlah bahawa risalah ini sekadar risalah umum untuk semua yang sesuai ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Bukanlah orang Muslim itu sibuk dengan komentar terhadap bait lagu ‘muhasabah cinta’ sahaja, masih banyak lagi perkara yang perlu dikomentarkan. Baik dari sudut I’tiqad, mu’amalah dan juga aturan akhlaknya.
Segalanya saya serahkan pada Pencipta, tiada daya yang mampu untuk dilakukan melainkan berusaha sekadar termampu disamping berdoa pada-Nya. “ Wahai Tuhanku, Kau tunjukkanlah kebenaran itu sebagai suatu kebenaran dan berikanlah kami kekuatan untuk mengikutinya, dan Engkau tunjukkanlah kepada kami bahawa kebatilan itu suatu yang batil, dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.”
Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal :
إِذَا سَكَتَ الْعَالِمُ والْجَاهِلُ يَجْهَلْ فَمتى يَظْهَرَ الْحَقَّ
“ pabila orang alim berdiam diri, dan dibiarkan mereka yang jahil berterusan dengan kejahilan mereka, maka bilakah kebenaran akan terzahir?”
Wahai rijal, ayuh hayunkan langkah kalian! Sesungguhnya kalian adalah ‘jiilul nasril mansyud’, generasi yang diberi pertolongan dan jua yang terbimbing. Ayuh, bimbinglah diri kalian dengan kalimah ‘laa ilaaha illallah’. Kerna dengan kalimah itu sahaja yang akan menentukan kemuliaan hidup kalian.
Wassalam.
Editor,
Adinda ‘Abdullah ‘Ammar b. Mohd Shukry.
22 Oktober 2009
1:16 pm
No comments:
Post a Comment